twitter

Salam Perjuangan Pena..

Masa merupakan satu perkara yang tidak dapat dilarikan daripada kehidupan manusia. Dalam melayari kehidupan, masa merupakan satu unsur yang paling penting dalam menentukan naik turun kehidupan, sia-sia atau manfaat, bahagia atau sengsara.

Sebagai post yang pertama, tidak lain saya memilih tajuk masa ini sebagai satu penekanan. Seringkali kita mendengar alasan yang diberikan seperti, "tak cukup masa", "masa lama sangat", "dah terlepas masa" dan sebagainya. Ungkapan-ungkapa ini seringkali kita dengar ketikamana seseorang itu didapati tidak dapat melengkapkan tanggungjawab atau tugasan yang diberikan dengan sempurna, atau  sebagainya. Masa seringkali disalahkan.

ada apa dengan masa??

Hakikatnya, Allah memberikan masa yang sama banyak kepada setiap manusia iaitu sebanyak 24 jam sehari semalam. Namun, Allah meninggalkan kepada kita bagaimana kaedah dan apakah pengisian yang ingin kita terapkan di dalam tempoh masa yang telah diberi. Mengapa di awal entry ini saya mengatakan masa ini menentukan naik turun hidup, bahagia dan sengsara dan seumpamanya? Ini kerana, dengan penelitian yang jelas, Allah SWT telah menegaskan dalam kalamNya yang mulia di dalam al-Quran, Surah al-'Asr, maksudnya:

" Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian! Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka mengajak kepada kepada kebenaran, dan mengajak kepada kesabaran."

Maka, apakah lagi yang tidak jelas pada firman yang mulia ini? 

Ayat pertama surah ini, Allah SWT bersumpah dengan masa. Ini menunjukkan bahawa masa merupakan satu perkara yang sangat-sangat dititikberatkan dalam Islam. Seorang mukmin tidak akan membuang masanya dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah kerana atas kesedarannya bahawa tugasnya di dunia ini lebih banyak berbanding masa yang ada. Atas kesedaran ini, seorang mukmin akan mengisi setiap masa yang ada dengan segala perkara yang mampu membawanya ke arah keredhaan Allah SWT.  Syeikhuna Dr. Yusuf al-Qardhawi juga ada mengatakan bahawa:

الواجبات أكثر من الأوقات

Maksunya : Tugasan/tanggungjawab itu lebih banyak daripada masa.


Kesimpulannya di sini, apa yang jadi pada kita kini adalah kesan daripada pengisian kita pada masa yang diberikan Allah SWT. Lalainya kita dalam memanfaatkan masa yang diberikan membuatkan kita akan menjadi insan yang rugi di dunia dan juga rugi di akhirat. Beringatlah juga dengan sabda baginda Nabi SAW tentang dua nikmat yang seringkali dilupakan oleh manusia iaitu masa lapang dan nikmat kesihatan. Moga Allah SWT memberikan hidayah kepada kita semua untuk sentiasa memanfaatkan masa yang diberikan dengan sebaiknya untuk dipersembahkan di hadapanNya kelak dengan persembahan amalan-amalan yang baik yang diisi dalam masa yang telah Allah berikan kepada kita.


Wallahu a'lam. 





Thursday 8 March 2012 | 0 comments | Labels:

0 comments:

Post a Comment